Tuesday 13 September 2011

PENDAPAT 2: DUIT KERTAS ADALAH HARUS

Terdapat perbezaan pendapat di antara para ulama tentang apakah itu matawang? Adakah hanya emas dan perak sahaja boleh jadi matawang?

Ulama yang menyatakan hanya emas dan perak sahaja adalah matawang adalah Imam Abu Hanifah dan anak muridnya Imam Abu Yusuf, ulama mazhab Maliki seperti Ibn Nafi‘, al-Adawi dan Shaykh ‘Alish, ulama dari Mazhab Shafi’i seperti Imam Ghazali, Imam Nawawi, Imam Suyuti dan Imam Maqrizi, sebahagian ulama 
Mazhab Hanbali dan juga pandangan dari golongan tabi’in seperti Imam Mujahid dan Imam Nakha’i. Ulama semasa yang menyokong pendapat ini adalah Shaykh Ahmad al-Khatib, Shaykh ‘Abd al- Rahman al-Sa‘di, Ibn Badran, Ahmad al-Husayni, Shaykh al-Muti‘I, Shaykh Muhammad Amin al-Shanqiti, Taqi al-Din al-Nabhani, Muhammad Baqir al- Sadr, Muhammad Makhluf, Hassan Ayyub dan Nasir Farid Wasil.

Ulama yang menyatakan matawang tidak terhad kepada emas dan perak adalah Imam Shaybani dari mazhab Hanafi; ulama mazhab Maliki seperti al-Hattab dan al-Wansharisi, sebahagian ulama Shafi’i dan sebahagian ulama Hanbali seperti Ibn Taymiyyah, Ibn Qayyim, ulama dari mazhab Zahiri seperti Ibn Hazm, golongan tabi’in seperti Laith ibn Sa’ad dan Al-Zuhri serta kebanyakan ulama semasa seperti Dr Yusuf al-Qaradawi, Muhammad Taqi Usmani, ‘Abd Allah Sulayman al-Mani’ dan juga Majma’ Fiqh Sedunia yang berpusat di Mekah.

Dua-dua kumpulan ulama’ ini mempunyai sandaran Syariah masing-masing. Antaranya, hujah yang menyatakan zaman Nabi saw hanya ada dinar dan dirham. Namun pada masa yang sama, kaedah fiqh menyatakan selagi mana tidak ada dalil yang mengharam sesuatu perkara, maka ia adalah perkara yang boleh dibuat. Justeru, tidak ada larangan khusus yang menyatakan matawang selain emas dan perak adalah haram.
Ini disebut perbezaan pendapat (khilaf) , dan Nabi saw menerusi hadisnya yang shahih yang direkodkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim menyebut:

Apabila seorang hakim hendak menjatuhkan hukuman lalu berijtihad dan betul ijtihadnya nescaya mendapat dua pahala, apabila salah ijtihadnya mendapat satu pahala.
Dalam mendepani situasi banyak pendapat dalam perkara ijtihad ini, Imam Suyuti dalam bukunya al-Ashbah wa an-Nazair menyebut:
JANGAN DIBANTAH HUKUM YANG BERLAKU KHILAF DI KALANGAN ULAMA’. Sesungguhnya perkara yang perlu dibantah adalah perkara yang sepakat di kalangan para ulama tentang pengharamannya.

Islam ini TETAP PADA PRINSIPNYA SEPERTI PENGHARAMAN RIBA. Ulama sepakat menyatakan dalam matawang ada riba berlaku, justeru ada syarat yang mesti kita patuhi. Mereka cuma tidak sepakat, adakah matawang mesti terhad emas dan perak sahaja?

Maka, dalam mendepani hal ini kita mesti berlapang dada dengan perbezaan pendapat yang berlaku ini dan PEMERINTAH ADA KUASA UNTUK MENGAMBIL MANA-MANA PENDAPAT YANG ADA.
Memetik kata-kata Ibn Uthaymin, ‘MAZHAB ORANG AWAM ADALAH MAZHAB 

PEMERINTAHNYA.’ Maka, dalam hal ini keputusan Majma’ Fiqh Sedunia yang menerima pendapat ulama dalam ISU MATAWANG TIDAK TERHAD EMAS DAN PERAK telah diguna pakai secara meluas oleh semua negara umat Islam, maka wajiblah kita selaku orang awam mengikut ketetapan ini.
Keputusan Majma’ Fiqh pada 1986 ini juga telah diguna pakai oleh Majlis Shariah Accounting and Auditing Organisation for Islamic Financial Institutions (AAOIFI) pada tahun 2000 dan AAOIFI kini merupakan rujukan fatwa utama dalam urusan muamalat Islam hari ini.

Maka ulama semasa memastikan semua urusan matawang kertas juga tidak berlaku riba, sama ada riba berkait pinjaman dan hutang atau riba berkaitan pertukaran barang ribawi seperti yang berlaku dalam forex, pelaburan emas dan trade-in emas misalnya.

Malah, ULAMA SEMASA JUGA TIDAK MEMBANGKANG USAHA UNTUK MENGEMBALIKAN FUNGSI EMAS DAN PERAK DALAM MATAWANG, asalkan mekanismanya adalah bebas riba.

Apa yang diputuskan oleh Majma’ Fiqh dalam hal ini bukanlah satu ketetapan yang dibuat tanpa sebarang sandaran Syariah. Isu ini dibincangkan oleh ulama kita dari dahulu sampai ke hari ini.
Maka dengan ini kita bersetuju segala urusan matawang (termasuk matawang kertas) perlu ikut cara yang ditetapkan dalam Syariah untuk memastikan bebas dari riba.

Wallahu’alam.

Source: Pak Di.net

No comments:

Post a Comment